Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pakej Insentif JS-SEZ Mendorong Pelaburan Bernilai Tinggi Ke Johor

Pakej Insentif JS-SEZ Mendorong Pelaburan Bernilai Tinggi Ke Johor

Susulan pemeteraian bersejarah perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Johor-Singapore Special Economic Zone; JS-SEZ), Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kewangan (MoF) berhasrat mengumumkan mengenai pakej insentif JSSEZ.

Sebagai ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara, pakej insentif cukai JS-SEZ ini telah disediakan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor, mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik.

Mulai 1 Januari 2025, pelabur di JS-SEZ boleh memohon insentif cukai termasuk:

  1. Kadar cukai korporat istimewa: syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti AI and quantum computing, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa 5% bagi tempoh sehingga 15 tahun.
  2. Fokus Pembangunan Flagship: Insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan flagship yang telah ditentukan di JSSEZ.
  3. Kadar cukai istimewa untuk pekerja berpengetahuan: Kadar cukai istimewa 15% bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ.

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, berkata, pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.

“Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan. Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” tambah beliau.

Selain daripada pakej insentif cukai, YAB Dato’ Onn Hafiz berkata Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar yang lebih rendah bermula 1 Januari 2025.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, berkata pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini. Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan mengalualukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.

“Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor-sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah. Pakej insentif cukai JS-SEZ ini melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang bertujuan untuk merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.

Direka untuk memastikan ketelusan dan aksesibiliti selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, pakej insentif cukai ini mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), TalentCorp, dan lain-lain pihak berkepentingan.

Bagi memudahcara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, Kerajaan telah menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) untuk menyelaras proses pelaburan secara menyeluruh, meliputi permohonan dan kelulusan, fasilitasi pelaburan, dan pelaburan semula.

Butiran lanjut mengenai insentif cukai dan zon flagship akan diumumkan dalam masa terdekat.


Kementerian Kewangan
Kerajaan Negeri Johor
 
8 Januari 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility