1. Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, atau KITA PRIHATIN, bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 September 2020, dijangka akan memberi kesan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam suku keempat 2020. Pakej-pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN, yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion, dijangka menyumbang 3.7 – 4.0 mata peratusan kepada KDNK Malaysia bagi tahun 2020. Ini sekaligus meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik untuk pemulihan ekonomi menjelang tahun 2021.
2. Pertumbuhan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan perniagaan. Kerajaan juga menyasarkan kesan berganda (multiplier effect) antara bantuan di bawah KITA PRIHATIN dengan pakej-pakej rangsangan lain yang masih dilaksanakan.
3. Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bukan sahaja mampu meringankan beban aliran tunai, tetapi juga membolehkan individu dan keluarga membeli barangan keperluan harian, termasuk barangan promosi di bawah inisiatif PENJANA seperti kempen pembelian barangan Malaysia.
4. Pada masa yang sama, bantuan Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin akan membantu menjamin kelangsungan perniagaan dan pekerjaan yang memastikan aktiviti ekonomi dapat dijalankan dan produktiviti ditingkatkan.
5. Berdasarkan indikator-indikator pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru ini seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Pelopor, dan juga sektor runcit dan rekreasi, Kerajaan yakin bahawa KITA PRIHATIN akan mengekalkan momentum pemulihan.
6. Walaupun perbelanjaan Kerajaan dijangka meningkat disebabkan rangsangan tambahan ini, namun matlamat Kerajaan adalah konsisten iaitu untuk mengutamakan kesejahteraan kehidupan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan, lebih-lebih di dalam tempoh yang mencabar ini.
7. Pada masa yang sama, Kerajaan tetap komited dalam memastikan disiplin fiskal. Saya dan rakan kerja di Kementerian Kewangan sentiasa memantau pelbagai indikator ekonomi di tahap domestik dan juga global, untuk memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat, lagi kukuh.
8. KITA PRIHATIN merupakan hasil proaktif Kerajaan tehadap pelbagai sesi libat urus, turun pandang dan konsultasi #JelajahBelanjawan2021 Kementerian Kewangan. Kerajaan mengambil maklum cabaran yang masih dihadapi oleh rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19, dalam merangka pakej KITA PRIHATIN ini. Soalan-soalan lazim (FAQ) telahpun dimuatnaik ke laman sesawang Kementerian Kewangan mulai 25 September 2020. Bagi mendapatkan maklumat permohonan, kelayakan dan sebagainya, orang ramai boleh mengakses https://www.treasury.gov.my/index.php/kitaprihatin2020/
9. Perincian maklumat penting berkenaan inisiatif-inisiatif yang diumumkan di bawah KITA PRIHATIN adalah seperti berikut:
10. Kerajaan peka dengan pandangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang mengalami kesukaran tetapi tidak sempat memohon peruntukan asal GKP, atau tidak layak memohon sebelum ini kerana hanya mendaftarkan perniagaan selepas 31 Disember 2019.
11. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk mengadakan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta bagi inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro yang belum pernah menerima GKP sebelum ini. Pembukaan semula GKP ini mengekalkan jumlah geran sebanyak RM3,000 setiap pemohon yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM); atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020. GKP (Pembukaan Semula) ini dijangka akan memanfaatkan 200,000 PKS mikro untuk membantu aliran tunai serta sebagai modal perniagaan.
12. Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) merupakan kesinambungan daripada Program Subsidi Upah di bawah PRIHATIN dan PENJANA, yang telah pun membantu 300,000 majikan menyelamatkan lebih 2.6 juta pekerja. PSU 2.0 bertujuan membantu mengekalkan pekerja bagi majikan yang masih terkesan oleh pandemik Covid-19.
13. Peruntukan bagi inisiatif PSU 2.0 ini berjumlah RM2.4 bilion, dan ianya dijangka akan memanfaatkan 160,000 majikan untuk mengekalkan 1.3 juta pekerja selama 3 ke 6 bulan. Penambahan peruntukan PSU 2.0 melalui Pakej KITA PRIHATIN juga akan membawa keseluruhan Program Subsidi Upah kepada lebih RM17 bilion.
14. Kerajaan juga mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh golongan B40 dan M40. Sehubungan itu, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula pada hujung bulan Oktober 2020. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif BPN melebihi RM18 bilion kepada 10.6 juta penerima, yang merangkumi golongan bujang dan isi rumah.
15. Kerajaan juga akan membuka ruang untuk rayuan bagi mereka yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan BPN atau BSH sebelum ini. Permohonan baharu BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober - 15 November 2020 dan boleh dibuat melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my; atau dengan menghantar borang secara persendirian ke cawangan / Pusat Khidmat Hasil (PKH) / UTC LHDNM. Borang permohonan boleh dimuat turun dari pautan bpn.hasil.gov.my. Pemohon tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan semasa permohonan. Kesemua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
16. Melalui pakej KITA PRIHATIN, Kerajaan komited untuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan. Kementerian Kewangan melalui unit LAKSANA akan terus memantau pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi dan akan menambah baik langkah-langkah sedia. Selanjutnya, langkah-langkah untuk memperkasakan semula (revitalise) ekonomi akan diperkenalkan semasa Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.
Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
25 September 2020