Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pelaksanaan Duti Eksais Ke Atas Produk Cecair Atau Gel Mengandungi Nikotin Yang Digunakan Untuk Rokok Elektronik Dan Vape

Pelaksanaan Duti Eksais Ke Atas Produk Cecair Atau Gel Mengandungi Nikotin Yang Digunakan Untuk Rokok Elektronik Dan Vape

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, Kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Langkah ini membolehkan Kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion dan pada masa yang sama menyokong usaha untuk tidak menggalakkan penggunaan vape.

Susulan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan mengecualikan cecair atau gel mengandungi nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 melalui pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023. KKM juga akan membentangkan Rang Undang-Undang baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Selari dengan ini, Kementerian Kewangan akan melaksanakan pengenaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Duti eksais berkuat kuasa 1 April 2023.

Berkuat kuasa 1 April 2023, melalui pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dengan pelaksanaan duti eksais ini, Kerajaan akan terus memastikan semua peraturan dan kawalan barangan berduti eksais oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dapat dipertingkatkan untuk mengelakkan ketirisan hasil negara.

Malah, seperti yang telah dijanjikan dalam pengumuman Belanjawan 2023, separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Industi vape diberi masa daripada 1 April sehingga 30 April 2023 untuk mendaftar aktiviti pengilangan vape.

Pemain industri vape, khususnya pengilang tempatan yang mengeluarkan produk cecair atau gel mengandungi nikotin, diberi tempoh bermula 1 April sehingga 30 April 2023 untuk mendaftarkan aktiviti pengilangan kepada JKDM.

Pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh mengelakkan pengilang dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar. Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang bulan Mei 2023.

Pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem MyExcise di pautan https://myexcise.customs.gov.my/myexcise/.


Kementerian Kewangan Putrajaya
2 April 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility