Pelaksanaan Perolehan di UiTM Sentiasa Menyokong Dasar Keutamaan Khas Kepada Bumiputera
Kementerian Kewangan melalui Pekeliling Perbendaharaan berkaitan Perolehan Kerajaan (PK1.5) iaitu Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera sentiasa memberi penekanan ke atas pelaksanaan perolehan Kerajaan kepada syarikat/kontraktor bertaraf Bumiputera oleh semua Agensi Kerajaan. Oleh itu, Kementerian Kewangan ingin menafikan dakwaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di laman media sosialnya dan ingin memberi penjelasan seperti berikut:
- Pelaksanaan perolehan Kerajaan di UiTM melibatkan pematuhan bahagian dan pindaan yang berkenaan atas PK1.5 berkaitan Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera berkaitan tatacara perolehan.
- Pindaan PK1.5 yang dibuat oleh Kementerian Kewangan yang dibuat baru-baru ini berkuatkuasa tahun 2025 adalah berkaitan penetapan Ketua Kewangan/financial controller bagi syarikat adalah perlu bertaraf Bumiputera sebagai langkah mengukuhkan lagi profesionalisme Bumiputera. Pindaan ini terpakai ke atas perolehan oleh UiTM.
- Sebaliknya, pindaan tahun 2025 kepada pelaksanaan peraturan perolehan Kerajaan mengikut Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah tidak terpakai kepada UiTM yang merupakan badan berkanun yang tidak termasuk dalam ruang lingkup perjanjian tersebut.
- Oleh yang demikian, UiTM adalah entiti Kerajaan yang boleh meneruskan sepenuhnya Dasar Keutamaan Bumiputera dalam Perolehan Kerajaan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kewangan dalam PK1.5 dan tidak sesekali meminggirkan agenda pemerkasaan Bumiputera dalam pelaksanaan perolehan dan projek.
Kementerian Kewangan akan memastikan setiap pelaksanaan perolehan menyokong Dasar Keutamaan kepada Bumiputera oleh semua Agensi Kerajaan meningkatkan lagi keupayaan syarikat Bumiputera dalam persekitaran ekonomi yang kondusif.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
1 Jun 2025