Saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana memberi amanah dan tanggungjawab kepada Kementerian Kewangan – yang akan bekerjasama rapat dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) – untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi yang menyeluruh.
Dalam masa terdekat, tumpuan Kementerian Kewangan adalah kepada usaha- usaha jangka pendek dan sederhana, yang perlu diambil dalam tempoh PKP dan selepas tamatnya PKP demi memastikan kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga akan merangka strategi jangka panjang yang akan merangkumi langkah-langkah untuk melestarikan teras ekonomi, alam, dan sosial Malaysia. Teknologi digital akan memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara di masa hadapan.
Antara objektif jangka masa pendek dan sederhana yang disasarkan ini termasuk (1) membina keupayaan perniagaan dan individu; dan (2) menanamkan keyakinan di kalangan pengguna serta (3) memperkasakan persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.
Pelan ini akan menjadi penghubung dan pelengkap kepada pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan Kerajaan sebelum ini untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19.
Kementerian Kewangan sedia maklum akan cabaran-cabaran norma baharu (the new normal) yang bakal dihadapi berlatarbelakangkan persekitaran dunia pasca- COVID-19. Oleh itu, bersama dengan UPE, sesi libat urus telah pun bermula bersama dengan pihak berkepentingan pelbagai industri dan sektor untuk mendapatkan maklumbalas yang berkaitan dalam usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara.
Strategi pemulihan dan pembangunan ekonomi ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Majlis Tindakan Ekonomi dan juga Kabinet dalam masa terdekat.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Putrajaya
24 April 2020