Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pelanjutan Permohonan Pembayaran Balik Tunai Bagi Pemilik Kenderaan Logistik Berkelayakan

Pelanjutan Permohonan Pembayaran Balik Tunai Bagi Pemilik Kenderaan Logistik Berkelayakan

Kementerian Kewangan (MOF) akan melanjutkan mekanisme pembayaran balik secara tunai sehingga Ogos 2024 kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang masih belum menerima fleet card. Kemudahan ini terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada atau sebelum 30 Jun 2024.

Lanjutan ini membolehkan pemohon yang layak untuk membuat tuntutan bagi penggunaan diesel dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2024 (sebelum ini sehingga Julai 2024 sahaja), atau sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum tiga bulan sahaja, mana-mana terdahulu. Hari terakhir untuk mengemukakan tuntutan juga telah dilanjutkan kepada 15 September 2024. Terma dan syarat lain yang dinyatakan di Siaran Media bertarikh 28 Jun 2024 kekal tidak berubah.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh mula mengemukakan tuntutan bulan Ogos 2024 mulai 12 Ogos 2024.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, berkata pelanjutan pembayaran tunai ini memberi masa yang secukupnya kepada syarikat-syarikat logistik berkelayakan untuk menerima fleet card dan tidak menghadapi sebarang kesulitan menerima subsidi bersasar.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar, dan ini termasuklah memastikan semua yang berkelayakan dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya, untuk mengurangkan impak kepada rakyat,” tambah beliau.

Mekanisme ini merupakan pemudahcara sementara bagi membolehkan pembayaran semula secara tunai bagi menampung perbezaan antara harga runcit diesel dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh memohon untuk mendapat pembayaran balik tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my. Pemohon yang layak akan diberi bayaran balik secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel pada tarikh pembelian berbanding harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, dengan had liter tertentu setiap kenderaan bagi setiap bulan.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Ogos 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility