Encik Abdul Yazid Kassim telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu untuk Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bermula 1 Februari 2019.
Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan projek dan kontrak pembinaan dan kejuruteraan. Jawatan yang pernah dipegang oleh beliau termasuk Pengarah Projek Malakoff Corporation Berhad dan Ketua Pejabat Pengurusan Projek di Zelan Berhad. Beliau juga bekerja selama 10 tahun di luar negara sebagai Ketua Pembinaan di syarikat Qatar Petroleum.
Beliau menerima ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan pembinaan daripada University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom dan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan daripada University of Warwick, United Kingdom.
Antara tanggungjawab utama beliau termasuklah mengurus projek Laluan Mass Rapid Transit Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) supaya ia dapat dilaksanakan dengan kos dan dalam jangka masa yang ditetapkan. Pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu diyakini akan dapat mempertingkatkan prestasi dan kecekapan MRT Corp.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
27 Januari 2019