Dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan pelantikan YM Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa SERTA-MERTA, setelah menerima kelulusan Perdana Menteri. Beliau sebelum ini memangku jawatan tersebut selama enam bulan bermula pada 23 Jun 2018.
YM Raja Azmi menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 1 Februari 2016. Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan seterusnya Pengarah Eksekutif UDA Holdings Berhad. Pengalaman pekerjaan beliau termasuk menjadi Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif di Zelan Berhad, Pengarah Kewangan Kumpulan UEM Group Berhad, dan Pengarah Eksekutif di Time Engineering Berhad. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Tronoh Consolidated Malaysia Berhad dan Pegawai Kewangan Kumpulan Sapura Telecommunications Berhad.
YM Raja Azmi memulakan kerjaya beliau pada tahun 1987 di Coopers & Lybrand Malaysia sebelum beralih ke Malaysian Tobacco Company Berhad sebagai Juruaudit Dalaman dan Akauntan Pemasaran. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan perakaunan serta mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Bath, United Kingdom. Beliau juga merupakan ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants dan Malaysian Institute of Accountants.
Pelantikan beliau adalah bertepatan dan seiring dengan keperluan syarikat pada masa ini yang mengalami peningkatan ketara dalam jumlah pengguna lapangan terbang di Malaysia. Pelantikan ini juga adalah selaras dengan aspirasi MAHB untuk menjadikan lapangan-lapangan terbang negara sebagai pilihan syarikat penerbangan dan pelancong di rantau ini dalam suasana persaingan yang tinggi. Dengan pelantikan ini, adalah diyakini bahawa beliau berupaya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi MAHB dapat diteruskan dan dipertingkatkan.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 Januari 2019