Kementerian Kewangan (MOF) ingin memaklumkan bahawa Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin akan bersara sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuatkuasa pada 15 Jun 2024.
MOF juga ingin memaklumkan bahawa Dato’ Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 16 Jun 2024 hingga 15 Jun 2027. Pelantikan ini adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].
Dato’ Mohammad Faiz Azmi mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.
Beliau berkelulusan Bachelor of Arts (Hons) dalam Undang Undang daripada Durham University dan didaftarkan sebagai Barrister, Bar of England & Wales oleh Honourable Society of Lincoln’s Inn. Beliau juga dianugerahkan Honorary Degree of Doctorate in Laws oleh University of Nottingham.
Beliau merupakan ahli dalam beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Antara pengalaman beliau adalah pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan Pengerusi Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC).
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni (Perundangan) daripada Durham University dan ahli beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Dato’ Mohammad Faiz Azmi berpengalaman menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB). Beliau merupakan Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos 2023.
Berbekalkan pengalaman yang ada, MOF yakin beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.
“MOF berterima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC dan percaya kepakaran serta pengalaman beliau akan dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Di bawah kepemimpinan Dato’ Seri Dr. Awang Adek, SC telah merombak dua undang- undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan, dan memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange), sebuah platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.
Lain-lain pencapaian beliau termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Shariah untuk pasaran modal Islam, dan pelancaran pelan hala tuju untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
13 Jun 2024