Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pelarasan Perbelanjaan Tidak Akan Menjejas Perkhidmatan Rakyat

Pelarasan Perbelanjaan Tidak Akan Menjejas Perkhidmatan Rakyat

Kementerian Kewangan (MOF) ingin menegaskan bahawa panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Ini meliputi perbelanjaan teras untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang merupakan antara kementerian yang mempunyai peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini.

Panduan pelarasan perbelanjaan termasuk langkah seperti penangguhan penganjuran acara, menghadkan kunjungan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti, mengoptimakan rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.

Selaras dengan pengurusan kewangan negara dengan bertanggungjawab, langkah pelarasan ini mengikut keutamaan penting untuk mewujudkan ruang fiskal bagi membiayai bantuan dan subsidi bersasar untuk melindungi golongan dan sektor rentan yang terkesan daripada Krisis Bekalan Global ini.

MOF akan terus berusaha secara proaktif dan sistematik untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan yang optima bagi memperkukuh daya tahan negara dalam berhadapan Krisis Bekalan Global yang dijangka memberi impak mendalam dan berpanjangan kepada ekonomi negara.

MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa yang sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
30 April 2026

↓ Muat turun: kenyataan-media-pelarasan-perbelanjaan-30042026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility