Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pembayaran Akhir Untuk Penerima STR 2024 Sehingga RM1,000 Disalurkan Mulai 7 November 2024

Pembayaran Akhir Untuk Penerima STR 2024 Sehingga RM1,000 Disalurkan Mulai 7 November 2024

Sepertimana pengumuman oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI akan menyalurkan bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 secara berperingkat[1] mulai 7 November 2024 (Khamis) kepada 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing[2].

Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar[3] mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember 2024 (Isnin). Manakala baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ini selaras dengan keprihatinan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion dan Kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun 2024 berbanding RM8 bilion pada tahun 2023.

YAB Dato’ Seri Anwar juga melalui pembentangan Belanjawan 2025 telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.

“Peningkatan peruntukan sebanyak 30% adalah yang tertinggi pernah diberikan Kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat. Ia akan memanfaatkan hampir 60% penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Kenaikan peruntukan ini merupakan hasil penstrukturan semula kewangan Kerajaan yang mengambil pendekatan untuk mengagihkan semula kekayaan negara kepada rakyat terbanyak,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

Kerajaan juga mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun[4] bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan. Ini bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data Kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan selain data daripada beberapa agensi Kerajaan lain[5] untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.

Kementerian Kewangan (MOF) ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai STR, sila hubungi talian bantuan STR/SARA MOF di 03-8882 4565/4566.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
6 November 2024


[1] Sila rujuk Jadual di Lampiran
[2] Sila rujuk Jadual di Lampiran
[3] Sila rujuk Jadual di Lampiran
[4] Sila rujuk Jadual di Lampiran
[5] Sila rujuk Jadual di Lampiran

 

Lampiran

  1. Pembayaran STR Fasa 4 akan disalurkan secara berperingkat:
Kaedah Pembayaran Tarikh Pembayaran Jenis Penerima
Mempunyai akaun bank - Dikreditkan terus ke dalam akaun bank 7 – 14 November 2024 Penerima sedia ada, baharu dan rayuan
Tiada akaun bank (termasuk di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan) - Pembayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional Mulai 7 November 2024

 

  1. Pembayaran STR Fasa 4 mengikut kategori kelayakan masing-masing:
Kategori Penerima Jumlah Penerima Kadar Bayaran Implikasi Kewangan (RM)
Isi Rumah (≤ RM2,500) 3.0 juta RM200 – RM700 1.0 bilion
Isi Rumah (RM2,501-RM5,000) 1.0 juta RM150 - RM350 0.2 bilion
Warga Emas Tiada Pasangan 1.3 juta RM150 0.2 bilion
Bujang 3.4 juta RM100 0.2 bilion
JUMLAH 8.7 juta - RM1.7 bilion

 

  1. Jadual bayaran SARA kepada penerima STR bukan miskin dan miskin tegar berperingkat mulai 9 Disember 2024 mengikut kaedah pembayaran STR:
Kategori Penerima STR
Bukan Miskin dan
Miskin Tegar
Kadar SARA Jumlah
Penerima
Implikasi Kewangan (RM)
Isi Rumah RM300 3.5 juta 1.0 bilion
Bujang & Warga Emas
Tiada Pasangan
RM150 4.5 juta 0.7 bilion
JUMLAH 8.0 juta RM1.7 bilion

 

  1. Jadual Permohonan STR 2025 – Sepanjang Tahun:
Cara Permohonan Tarikh Permohonan Kaedah Permohonan
Secara dalam talian Mulai
19 Oktober 2024
Melalui https://bantuantunai.hasil.gov.my
Secara manual / fizikal Hadir ke:
• Pejabat LHDNM; atau
• Pejabat Satelit (PS) LHDNM; atau
• Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM; atau
• Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM
dengan mengisi dan mengemukakan Borang Permohonan STR 2025.

 

  1. Senarai data daripada beberapa agensi Kerajaan lain yang dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan:

    • Data eKasih, ICU, JPM;
    • Data penerima bantuan JKM;
    • Data penghuni Perumahan Awam/Projek Perumahan Rakyat di bawah
    • DBKL, JWP dan KPKT;
    • Data Orang Asli JAKOA;
    • Data gelandangan berdaftar dengan KPWKM dan DBKL;
    • Data individu berdaftar dengan Skim Insurans Pekerjaan PERKESO; dan
    • Data penerima zakat atau baitulmal negeri

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility