Kementerian Kewangan, melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), komited untuk memastikan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods & Services Tax - GST) yang tertangguh dapat dibuat dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pihak JKDM untuk mempercepatkan pemerosesan bayaran balik GST yang tertangguh akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana audit syarikat (field audit) tidak dapat dibuat. Kementerian Kewangan bersetuju untuk JKDM melaksanakan kaedah “bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih” berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.
Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini. Usaha ini selaras dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020.
Pembayaran balik GST akan dibuat mulai 22 Jun 2020 dan pembayaran kepada semua penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir bulan Disember 2020.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Putrajaya
15 Jun 2020