Saya merujuk kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 dan Siaran Media Kementerian Kewangan mengenai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bertarikh 29 Mac 2020. Dalam pengumuman awal, BPN dirancang untuk dibayar pada penghujung bulan April 2020. Jumlah keseluruhan BPN sebanyak RM9.24 bilion akan dibayar dalam dua fasa.
Sukacita saya memaklumkan, bagi fasa pertama BPN pakej PRIHATIN1 , 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang sudah diluluskan. Pembayaran fasa pertama ini yang berjumlah RM5.63 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 6 April 2020 (Isnin). Pecahan penerima adalah seperti berikut:
| Kategori & Pendapatan Bulanan | B40 Isi Rumah RM4,000 ke bawah | B40 Bujang RM2,000 ke bawah | M40 Isi Rumah RM4,001 hingga RM8,000 | M40 Bujang RM2,001 hingga RM4,000 | Jumlah |
|---|---|---|---|---|---|
| Jumlah Pembayaran | RM 3.24 bilion | RM 1.81 bilion | RM0.44 bilion | RM 0.14 bilion | RM5.63 bilion |
| Jumlah Penerima | 3.24 juta | 3.62 juta | 0.88 juta | 0.56 juta0 | 8.30 juta |
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam membolehkan bayaran BPN ini dipercepatkan demi membantu rakyat Malaysia yang memerlukannya.
Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan Pakej PRIHATIN ini. Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 April 2020