Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah sebuah inisiatif bantuan tunai yang diperkenalkan Kerajaan bagi memanfaatkan golongan B40. Pembayaran BPR Fasa 1 dan Fasa 2 berjumlah RM4.68 bilion telahpun dibayar kepada 8.4 juta penerima pada Februari 2021 dan Mei 2021 yang lepas.
Pada 31 Mei 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bagi tujuan membantu meredakan cabaran yang dihadapi terutamanya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menambahbaik Program BPR. Kini, pembayaran BPR Tambahan berkenaan akan menyusul dengan memanfaatkan jumlah penerima yang sama, merangkumi 3.6 juta isi rumah, 1.0 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang. Mereka akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 30 Jun 2021 (Rabu) melibatkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion.
Pembayaran ini akan disalurkan seperti berikut:
| Jenis Penerima | Tarikh Bayaran | Cara Pembayaran |
|---|---|---|
| Isi Rumah, Warga Emas dan Individu Bujang | 30 Jun – 2 Julai 2021 | Terus dikreditkan ke dalam akaun bank. |
| Penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah & Sarawak) | Mulai 30 Jun 2021 | Melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa. |
Mengambil kira pembayaran Fasa 1, Fasa 2 dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan sehingga kini kepada hampir 8.4 juta penerima adalah sebanyak RM6.78 bilion manakala jangkaan pembayaran Fasa 3 pula pada September 2021 dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion. Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh Kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40.
Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan Rakyat. Kerajaan berharap agar bantuan tunai ini akan meringankan beban golongan B40 terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
30 Jun 2021