Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah sebuah inisiatif bantuan langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2021, bagi memanfaatkan golongan B40. Fasa 1 pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telahpun dibayar kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari sehingga 1 April 2021.
Kini, Fasa 2 BPR menyusul untuk memanfaatkan jumlah penerima yang sama, merangkumi 3.6 juta isi rumah, 1.0 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang. Mereka akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 7 Mei 2021 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.
Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima. Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima. Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan bpr.hasil.gov.my.
Pembayaran ini akan disalurkan seperti berikut:
| Jenis Penerima | Tarikh Pembayaran Mulai | Cara Pembayaran |
|---|---|---|
| Isi Rumah, Warga Emas dan Individu Bujang | 7 - 12 Mei 2021 | Terus dikreditkan ke dalam akaun bank |
| Penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah & Sarawak) | 17 Mei 2021 | Melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa |
Bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021. Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.
Mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion. Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telahpun dibayar mulai 21 Januari 2021.
Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung Kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.
Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 Mei 2021
Lampiran
Pembayaran fasa 2 BPR akan diberikan kepada penerima yang lulus mengikut jadual berikut:
| Perkara | Isi Rumah Berpendapatan RM5,000 dan ke bawah | Warga Emas Berpendapatan RM5,000 dan ke bawah (Bujang/Tiada Pasangan | Individu Bujang Berpendapatan RM2,500 dan ke bawah | Jumlah |
|---|---|---|---|---|
| Data Lulus BPR (8.4 juta penerima) | 3.6 juta penerima | 1.0 juta penerima | 3.8 juta penerima | 8.4 juta penerima |
| (8.5 juta penerima) 4.4 juta 4.05 juta 8.45 juta Nilai Bayaran Fasa 1 BPR bagi setiap penerima |
RM150-RM400 (Baki bayaran pada fasa seterusnya) |
RM300-RM600 (Bayaran Akhir) |
RM200-RM350 (Bayaran Akhir) |
|
| Implikasi Kewangan | RM1.39 bilion | RM0.46 bilion | RM0.9 bilion | RM2.75 bilion |
| Tarikh Pembayaran (Ada Akaun) |
Mulai 7-12 Mei 2021 | |||
| Tarikh Pembayaran (Ada Akaun) |
Mulai 7-12 Mei 2021 | |||
Kaedah pembayaran bagi penerima kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank akan dibuat secara tunai sekaligus dengan pembayaran Fasa 3 melalui BSN dengan kolaborasi strategik bersama LHDNM dan Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Sarawak pada tarikh yang terdekat.
Jadual nilai pembayaran fasa 2 BPR mengikut kategori kelayakan dan maklumat lanjut boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu, bpr.hasil.gov.my