Bagi membuktikan keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, pembayaran BSH 2019 fasa pertama akan dilaksanakan pada 28 Januari 2019 (Isnin) mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama. Seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019, Kerajaan akan meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka.
Atas keprihatinan YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 Juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 Bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.
Pihak Kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum bulan Februari 2019. Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.
Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019. Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
24 Januari 2019