Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pemberian Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Terus Ditambah Baik Dan Akan Mencecah RM10.5 Bilion

Pemberian Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Terus Ditambah Baik Dan Akan Mencecah RM10.5 Bilion

Majlis Kewangan Negara (MKewN) tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hari ini bersetuju menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.

Peningkatan ini adalah rentetan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula tahun 2026 seperti yang digariskan oleh Kerajaan MADANI. Bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai Kerajaan Negeri, MKewN turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama.

“Kerajaan MADANI komited untuk menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada semua Kerajaan Negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira negeri atau wilayah. Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” kata YAB Dato’ Seri Anwar. 

Pemberian Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan MADANI telah meningkat daripada RM8.1 bilion tahun 2022 kepada RM10.3 bilion tahun 2025, dan dijangka akan mencecah RM10.5 bilion pada tahun 2026. 

Untuk Majlis Kewangan Negara tahun 2026, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri telah ditambah baik dengan peluasan skop untuk merangkumi perolehan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge), pembaikan, dan pembesaran longkang serta parit di jalan negeri. Majlis Kewangan Negara juga bersetuju untuk penyaluran lebih awal bagi semua pemberian di bawah Senarai Bersama. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan sepenuhnya 100% kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding dengan amalan semasa untuk berkongsi hanya 50% kutipan.

“Walhasil, Kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua Kerajaan Negeri, tanpa mengambil kira pendirian politik. Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebatkan pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.

Langkah-langkah yang dipersetujui pada MKewN tahun ini menumpukan kepada peningkatan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di setiap pelosok tanah air, selaras dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI untuk Menaikkan Siling potensi pertumbuhan negara dan Menaikkan Lantai darjat hidup rakyat.

 


Kementerian Kewangan 
Putrajaya 
5 Mac 2026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility