Kementerian Kewangan (MOF) menyambut baik pengumuman Jabatan Peguam Negara bahawa sejumlah USD322 Juta (RM1.3 Bilion) daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia berikutan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah USD4.5 Bilion yang DOJ dapati diseleweng daripada 1MDB (lihat Jadual 1). Keputusan DOJ ini merupakan kedudukan terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak SGD50 Juta dipulangkan ke Malaysia (lihat Jadual 2).
Jadual 1: Pemulangan Aset 1MDB Daripada Amerika Syarikat
| Aset 1MDB Dipulangkan Dari Amerika Syarikat | Nilai Aset | |
|---|---|---|
| USD ‘Juta | RM ‘Juta @USD1:RM4.10 | |
| Jumlah yang akan diterima: Park Lane Hotel, Manhattan |
139 | 570 |
| Jumlah yang telah diterima: Syarikat Pembikinan Filem Red Granite Kapal Layar Mewah ‘Equanimity’ |
57 234 |
126 517 |
| Jumlah Kecil | 183 | 751 |
| Jumlah Keseluruhan | 322 | 1321 |
Jadual 2: Pemulangan Aset 1MDB dari Singapura
| Aset 1MDB Dipulangkan dari Singapura | Nilai Aset | |
|---|---|---|
| SGD ‘Juta | RM ‘Juta @SGD1:RM3 | |
| Jumlah telah diterima | 15 | 45 |
| Jumlah akan diterima | 35 | 105 |
| Jumlah Keseluruhan | 50 | 150 |
Dana daripada pemulangan aset 1MDB ini akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB sebanyak RM51 Billion. Jumlah ini adalah termasuk faedah yang perlu ditanggung sebanyak RM10.8 Billion dan pinjaman MOF yang telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini sebanyak RM8.6 Bilion (lihat Jadual 3). Dana ini juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan yang terbit daripada usaha memulangkan dan melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia.
Jadual 3: Senarai Hutang 1MDB Semasa
| Hutang 1MDB | Prinsipal RM ‘Juta | Faedah RM ‘Juta | Jumlah RM ‘Juta |
|---|---|---|---|
| Terbitan Bon USD 6.5 bilion @ USD1:RM4.10 | 26,650 | 4,906 | 31,556 |
| Terbitan Sukuk RM5.0 bilion | 5,000 | 5,894 | 10,894 |
| Jumlah telah dibayar oleh MOF | 8,564 | 8,564 | |
| Jumlah Keseluruhan | 40,214 | 10,800 | 51,014 |
Pemulangan aset-aset ini merupakan langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi. Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB.
Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain, dan pada masa yang sama akan memperkukuhkan kawalan dalaman dan inisiatif anti-rasuah supaya perkara sebegini tidak dapat berlaku lagi di masa hadapan.
Sayangi Malaysiaku!
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
8 Mei 2019