Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, Kerajaan menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.
Salah satu daripada bantuan tersebut adalah Kemudahan Bantuan Bencana bagi meringankan beban PMKS di mana jumlah peruntukan telah ditingkatkan daripada RM200 juta kepada RM500 juta. Di samping itu, ciri-ciri kemudahan ini juga telah ditambahbaik, di mana:
Selain daripada Kemudahan Bantuan Bencana, inisiatif BAUCAR DISKAUN AUTOMOTIF KELUARGA MALAYSIA sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak juga telah diumumkan untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Inisiatif ini merupakan usahasama antara Kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan Kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.
Dalam hal ini, Kerajaan mengalu-alukan langkah syarikat PERODUA dan PROTON untuk menawarkan diskaun 50% ke atas kos alat ganti. PERODUA juga telah menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma. Kerajaan menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif yang lebih baik untuk pelanggannya.
Untuk memanfaatkan baucar diskaun tersebut, pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan. Pemilik kenderaan dengan kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat. Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.
Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia. Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan. Maklumat senarai syarikat automotif yang terlibat setakat ini adalah seperti di Jadual 1. Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan.
Tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Dengan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia ini, Kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
7 Januari 2022