Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, Kerajaan menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara. Salah satu daripada bantuan tersebut adalah inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara mangsa banjir untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Sehingga kini, hampir 20 syarikat automotif, dengan rangkaian lebih daripada 1,800 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia. Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.
Sehubungan itu, sukacita diumumkan Kerajaan menambahbaik pelaksanaan inisiatif ini dengan mewujudkan kaedah alternatif untuk mangsa banjir membuat tuntutan tunai dalam keadaan kenderaan telah dibaiki di bengkel tidak berdaftar.
Permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk Bengkel Tidak Berdaftar boleh dibuat secara dalam talian mulai hari Rabu, 19 Januari 2022 di portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my. Permohonan secara manual fizikal juga boleh dibuat di mana-mana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta Cawangan LHDNM berhampiran. Pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia http://bantuanbanjir.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Malaysia
18 Januari 2022
Lampiran
Jadual 1 : Permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk Bengkel Tidak Berdaftar
| Cara Permohonan | Tarikh Permohonan | Kaedah Permohonan |
|---|---|---|
| Secara dalam talian | 19 Januari 2022 – 31 Mac 2022 | Melalui https://bantuanautomotif.hasil.gov.my. |
| Secara manual / fizikal |
Hadir ke mana-mana:
Pomohon perlu mengisi dan mengemukakan Borang Permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk Bengkel Tidak Berdaftar |