Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, Kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran dengan kandungan gula yang tinggi melebihi nilai ambang 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (Low Value Goods – LVG).
Ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada tahun 2023, namun, mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutamanya di kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut.
Sehubungan itu, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kuat kuasa kenaan duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran yang mengandungi gula melebihi had 33.3 gram/100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas LVG kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi. Selain itu, Kerajaan juga dapat memperhalusi semua aspek perundangan berkaitan bagi memastikan isu pelaksanaan dapat ditangani dengan sewajarnya.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
21 Mac 2023