Kementerian Kewangan Malaysia ingin mengumumkan bahawa prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ialah RM137.035 Bilion. Kutipan dalam tahun 2018 ini telah meningkat sebanyak 11.13% atau RM13.723 Bilion berbanding kutipan tahun 2017, sekaligus mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu RM133.700 Bilion.
| Tahun | Jumlah Kutipan Cukai Langsung (RM Juta) | Peningkatan Berbanding Tahun Sebelum (RM Juta) | Peningkatan Berbanding Tahun Sebelum %) |
|---|---|---|---|
| 2018 | 137,035 | 13,723 | 11.13% |
| 2017 | 123,312 | 9,367 | 8.22% |
Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain. Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan dalam tahun 2018.
| Komponen | Jumlah Kutipan Tahun 2018 (RM Juta) | Peningkatan/ (Penurunan) Berbanding Tahun 2017 (RM Juta) | Peningkatan/ (Penurunan) Berbanding Tahun 2017 (%) | Sumbangan kepada Jumlah Kutipan Tahun 2018 (%) |
|---|---|---|---|---|
| Syarikat | 70,036 | 1,234 | 1.79% | 51.11% |
| Individu | 36,065 | 4,164 | 13.05% | 26.32% |
| Petroleum | 20,082 | 8,321 | 70.75% | 14.66% |
| Duti Setem | 5,934 | 264 | 4.66% | 4.33% |
| Cukai Pegangan | 3,117 | (150) | -.4.58% | 2.27% |
| CKHT* | 1,467 | (231) | -.13.63% | 1.07% |
| Koperasi | 171 | 96 | 129.43% | 0.12% |
| Labuan IOFC** dan Lain-lain*** |
163 | 25 | 18.12% | 0.12% |
| 137,035 | 13,723 | 11.13% | 100% |
Kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira RM116.953 Bilion atau 85.35% daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun 2018. Komponen syarikat merupakan penyumbang terbesar iaitu RM70.036 Bilion atau 51.11%, diikuti komponen individu berjumlah RM36.065 Bilion atau 26.32%, kutipan hasil cukai petroleum berjumlah RM20.082 Bilion atau 14.66%, kutipan duti setem berjumlah RM5.934 Bilion atau 4.33%, kutipan cukai pegangan berjumlah RM3.117 Bilion atau 2.27%, kutipan CKHT berjumlah RM1.467 Bilion atau 1.07%, kutipan cukai koperasi berjumlah RM0.171 Bilion atau 0.12% dan yang terakhir adalah Labuan IOFC serta lain- lain cukai berjumlah RM0.163 Bilion atau 0.12%.
Strategi Kerajaan
Prestasi kutipan yang sangat memberangsangkan ini jelas merupakan kesan daripada strategi-strategi yang efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara selepas kejayaan dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. Penjajaran semula strategi kutipan cukai yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan kepada LHDNM terbukti telah membuahkan hasil. Antara strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:
Ketelusan dan tahap integriti yang tinggi oleh Kerajaan Pakatan Harapan dalam membelanjakan setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat turut memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan tahap pematuhan yang lebih baik di kalangan pembayar cukai dan menyumbang kepada peningkatan ini. Faktor-faktor ini secara langsung telah meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan dan mendorong mereka mengisytihar serta membayar cukai yang sepatutnya secara sukarela.
Kerajaan Pakatan Harapan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang telah menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai dan berharap agar rakyat akan terus melaksanakan tanggungjawab ini untuk memajukan negara kita Malaysia.
Program Khas Pengakuan Sukarela
Seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019, Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia. Bagi tujuan tersebut, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) telah dilancarkan bermula 3 November 2018 dan akan tamat pada 30 Jun 2019 dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10% dan 15%.
Sehubungan itu Kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80% hingga 300% apabila program ini tamat kelak.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
20 Januari 2019