Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka mulai 1 Mac 2023 sehingga 31 Mac 20231 .
Ini bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data Kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing- masing selain membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian.
YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata STR pada tahun 2023 akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8.0 bilion.
“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan,” tambah beliau.
Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan di samping data daripada beberapa agensi Kerajaan2 untuk disemak silang kelayakan STR mengikut syarat yang ditetapkan.
Kementerian Kewangan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
1 Mac 2023