Bayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 telah dilaksanakan pada 28 Januari 2019 dan telah memanfaatkan 4 Juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 Bilion. Bayaran BSH 2019 selanjutnya dijadualkan pada bulan Mei 2019 untuk fasa kedua dan seterusnya pada bulan Ogos 2019 untuk fasa ketiga.
Untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemaskinikan maklumat isi rumah. Secara amnya, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak untuk menerima BSH. Pendekatan BSH adalah selaras dengan keprihatinan Kerajaan untuk menyasarkan bantuan hanya kepada golongan yang layak menerimanya, iaitu golongan yang amat perlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup.
Kadar inflasi pada tahun 2018 adalah hanya pada tahap 1% berbanding dengan 3.7% untuk tahun 2017. Kadar inflasi 2018 yang merupakan tahap terendah dalam tempoh 9 tahun, menunjukkan bahawa langkah Kerajaan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkesan dalam menyederhanakan kenaikan harga. Seterusnya, Kerajaan akan terus berusaha untuk mengurus perkara ini melalui langkah seperti BSH, serta mengadakan kajian khas ke atas struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga setengah barangan keperluan naik lebih tinggi daripada kadar inflasi rasmi. Usaha-usaha ini dilakukan demi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kenaikan harga barang keperluan terkawal.
Tempoh pendaftaran BSH tahun 2019 telah dibuka mulai 1 Februari 2019 hingga 15 Mac 2019. Pemohon yang layak dialu-alukan untuk membuat permohonan melalui kaedah berikut:
| Pengisian Borang (Offline) | Permohonan Dalam Talian (Online) |
|---|---|
|
1. Borang permohonan BSH 2019 boleh didapati secara percuma di mana-mana Cawangan LHDNM / Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM / Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM. 2. Pemohon juga boleh memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH bsh.hasil.gov.my |
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di Portal Rasmi BSH, bsh.hasil.gov.my |
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di Portal Rasmi BSH, bsh.hasil.gov.my
Selain daripada kaedah seperti di atas, pihak Kerajaan juga akan mengambil langkah pro-aktif dengan kemudahan pendaftaran setempat, terutamanya untuk membantu pendaftaran isi rumah dari kawasan pedalaman yang terpencil serta golongan tertentu seperti yang terlantar. Kementerian Kewangan akan mewujudkan jalinan usahasama dengan agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan kerja pendaftaran sebelum ini.
Pada masa yang sama, proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH. Langkah tersebut penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasaran kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.
Baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019. Kaedah baharu BSH 2019 termasuk pengenalan kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada:
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
2 Februari 2019