Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Penebusan Penuh Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia Yang Meraih Pelbagai Anugerah

Penebusan Penuh Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia Yang Meraih Pelbagai Anugerah

Kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan tempoh matang 2 tahun Sukuk Prihatin, yang dilancarkan pada 22 September 2020. Sukuk Prihatin ditubuhkan selepas menerima permintaan dari pelbagai pihak untuk turut bersama-sama membantu dalam usaha pemulihan negara ketika Malaysia dilanda pandemik COVID-19. Sukuk tersebut telah ditebus sepenuhnya pada 22 September 2022.

Terbitan Sukuk Prihatin telah ditambah sebanyak RM166,417,500 ekoran sambutan yang amat menggalakkan dan telah dilanggan oleh 2,436 pembeli individu dan korporat dengan jumlah keseluruhan terbitan sebanyak RM666,417,500. Jumlah terbitan telah disalurkan bagi membiayai sebahagian perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 termasuk pinjaman mikro kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, bantuan khas untuk pelajar institusi pendidikan tinggi, kempen e-Dagang bagi PKS dan perusahaan mikro serta pelbagai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Sukuk Prihatin telah diktiraf kerana ciri-ciri inovatifnya yang menggabungkan unsur-unsur digital, pelaburan runcit dan tujuan amal. Ia juga telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Urus Niaga Terbaik Keseluruhan Tahun 2020, Urus Niaga Paling Inovatif Tahun 2020 dan Urus Niaga Terbaik Malaysia Tahun 2020 oleh Islamic Finance News. Selain itu, ia telah diiktiraf sebagai Sukuk Digital Terbaik oleh Alpha Southeast Asia di Anugerah Tawaran & Solusi Terbaik Tahunan 2020 ke-14. Maybank merupakan bank pengedar utama Sukuk Prihatin yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Pelabur runcit telah melanggan dengan jumlah serendah RM500 untuk menyokong usaha pemulihan negara.

Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada mereka yang telah melanggan sukuk tersebut, khususnya kepada 95 pemegang Sukuk Prihatin yang memilih untuk menyumbangkan amaun prinsipal kepada Kerajaan. Bagi memartabatkan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan akan menyalurkan keseluruhan sumbangan berjumlah RM2,599,400 kepada Akaun Amanah Bencana1, yang akan menyokong antara lain, pembaikan infrastruktur dan kemudahan awam yang rosak serta bantuan kewangan untuk mangsa bencana alam.

Penghargaan Kerajaan bukan sahaja ditujukan kepada semua pemegang sukuk, tetapi juga kesemua ahli-ahli Keluarga Malaysia yang telah sama-sama menyokong negara menangani isu kesihatan awam dan ekonomi semasa kemuncak pandemik.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan

24 September 2022


1 Untuk maklumat lanjut mengenai Akaun Amanah Bencana, sila layari www.mof.gov.my/portal/akaun-amanah-bencana.

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility