Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Penetapan Harga Runcit Petrol RON95 Dan Diesel Berikutan Trend Kenaikan Harga Minyak Dunia

Penetapan Harga Runcit Petrol RON95 Dan Diesel Berikutan Trend Kenaikan Harga Minyak Dunia

Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat, Kerajaan telah bersetuju bahawa had harga siling produk petrol RON95 dan diesel pada masa ini ditetapkan seperti berikut:

  1. harga runcit semasa petrol RON95 akan dihadkan pada paras siling RM2.05 seliter; dan
  2. harga runcit semasa diesel akan dihadkan pada paras siling RM2.15 seliter.

Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel. Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia. Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia. Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021.

Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi Kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 Febaruari 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility