Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pengekalan Fitch Ratings Mencerminkan Keyakinan Terhadap Polisi dan Prospek Malaysia

Pengekalan Fitch Ratings Mencerminkan Keyakinan Terhadap Polisi dan Prospek Malaysia

Fitch Ratings telah mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+, dengan prospek stabil. Pengekalan penarafan ini diberikan ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana 101 prospek negatif telah diberikan menjelang akhir tahun 2020.

Sehubungan itu, Kerajaan ingin memberi komitmen bahawa penambahbaikan operasi TH adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan pendeposit, selain dari memastikan keteguhan kewangan TH akan terus menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Pengekalan penarafan bagi Malaysia membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport. Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada tahun 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2% KDNK. Kedudukan ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0% daripada KDNK pada akhir Mac 2021. Faktor-faktor ini disokong oleh polisi tukaran asing fleksibel, yang memperkuatkan keupayaan Malaysia berhadapan dengan kejutan luaran. Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.

Pelan Pemulihan Negara untuk Bebas dari COVID-19 secara Selamat dan Sistematik

Dalam menangani krisis pandemik COVID-19, Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – satu strategi yang dinamik, fleksibel dan berpandangan ke hadapan berpandukan data dan sains. Berlandaskan pendekatan secara menyeluruh bagi negara, Kerajaan akan bekerjasama dengan pakar industri, NGO, pemimpin komuniti dan masyarakat umum dalam melaksanakan PPN. Pendekatan PPN yang sistematik akan mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan menjaga kelangsungan mata pencarian. Sejak pelaksanaan PPN pada 1 Jun 2021, lapan dari 14 negeri di Malaysia telah mencatat penurunan yang besar dalam kes baharu, seterusnya membolehkan mereka beralih ke fasa kedua sejak minggu lalu, di mana lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan di bawah pematuhan SOP yang ketat.

Demi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik ini bantuan berterusan telah diberikan melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan bernilai RM530 bilion, dan juga Bajet tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun 2021. Di bawah langkah-langkah Bajet 2021 dan pakej-pakej ini, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika melalui pelbagai fasa PPN. Sehingga kini, pemantauan berterusan oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan tersebut telah menyelamatkan 2.8 juta pekerjaan, serta memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.

Kejayaan Vaksinasi Menjadi Penentu kepada Pemulihan Ekonomi

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi. Ketika ini, Malaysia merupakan salah satu negara yang melaporkan kadar vaksinasi yang paling pantas di dunia dengan purata suntikan vaksinasi lebih daripada 400,000 dos sehari. PICK dijangka akan meningkatkan kadar vaksinasi kepada 500,000 dos sehari serta mensasarkan 100% daripada penduduk dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti. Berdasarkan pendekatan fast-track ini, 100% populasi dewasa dijangka akan divaksinasi penuh menjelang akhir Oktober 2021.

Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama, dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi. Faktor penyumbang lain termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai. Khususnya, Fitch menyatakan bahawa sektor pembuatan dan eksport Malaysia akan terus memanfaatkan lonjakan permintaan global terhadap produk eksport negara seperti produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak mentah dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Langkah ke Hadapan: Keutamaan-Keutamaan Ekonomi dan Penstrukturan Fiskal

Melangkah ke hadapan, agenda nasional akan tertumpu kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang. Di samping itu, dalam jangka sederhana, Kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Kerajaan kekal komited dalam memastikan kemapanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7% (2009) daripada KDNK kepada 3.4% (2019). Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, Kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini. Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi.

Secara keseluruhannya, keutamaan Kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman COVID-19 selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, disokong oleh PPN serta pengurusan kewangan yang berhemah. Kerajaan akan terus melaksanakan respon secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana COVID-19 yang mencabar ini di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik.


YB Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
19 Julai 2021


Lampiran

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility