Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengesahkan bahawa perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.
Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA. Di bawah perjanjian, Kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.
Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023. Penyempurnaan perjanjian jaminan Kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan FELDA antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan FELDA berikutan penghapusan hutang peneroka FELDA.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
20 Julai 2023