Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Penguatkuasaan Perintah Menetapkan Aset Digital Sebagai Sekuriti Bermula Esok

Penguatkuasaan Perintah Menetapkan Aset Digital Sebagai Sekuriti Bermula Esok

Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 mula berkuat kuasa esok, 15 Januari 2019. Berikutan ini, mata wang digital dan token digital seperti yang dinyatakan di dalam peraturan ini (secara kolektif dikenali sebagai “aset digital”) adalah ditetapkan sebagai sekuriti dan akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Penawaran instrumen-instrumen tersebut, berserta aktiviti yang berkaitan dengannya, akan memerlukan kebenaran dari SC dan perlu mematuhi undangundang sekuriti dan peraturan-peraturan yang berkenaan.

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berpandangan bahawa aset digital, berserta teknologi blockchain yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baru. Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi suatu kaedah alternatif untuk mendapatkan dana oleh para usahawan dan perniagaanperniagaan yang baharu, serta sebagai kelas aset alternatif untuk para pelabur.

Justeru, SC akan menetapkan syarat-syarat yang berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (initial coin offerings, atau ICO) dan perdagangan aset digital dan pasaran aset digital di Malaysia. Rangka kerja ini dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung suku pertama 2019.

Mana-mana orang yang menjalani aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum, apabila disabit, dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

14 Januari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility