Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pengukuhan Ekonomi Pada Suku Ketiga Meletakkan Malaysia Pada Landasan Baik Untuk Pertumbuhan 4.8%-5.3% Tahun Ini

Pengukuhan Ekonomi Pada Suku Ketiga Meletakkan Malaysia Pada Landasan Baik Untuk Pertumbuhan 4.8%-5.3% Tahun Ini

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada Suku Ketiga 2024 (S3 2024) berkembang sebanyak 5.3% (S2 2024: 5.9%) didorong permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pemulihan berterusan prestasi sektor luar negeri. Kadar pertumbuhan S3 2024 ini seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaporkan baru-baru ini.

Prestasi menggalakkan pada S3 2024 ini telah mencambah kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi sembilan bulan pertama 2024 kepada 5.2%, ketimbang 3.8% pada tempoh sama tahun lalu. Dengan ini, Malaysia telah menapak dengan asas yang kukuh untuk menggapai pertumbuhan berdasarkan ambang unjuran rasmi Kerajaan sebanyak 4.8% hingga 5.3%, yang juga telah disemak meningkat daripada unjuran asal antara 4% dan 5%.

“Pertumbuhan yang menjangkau 5% pada sembilan bulan pertama 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi Kerajaan. Kerajaan MADANI bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tatakelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila Kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol. Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Meski dunia ini masih penuh marcapada dan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kian kukuh saban masa. Malaysia yang kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan, apakala kita giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi Malaysia,” tambah beliau.

Belanjawan 2025 bakal mengukuhkan lagi asas Malaysia dan memacu wawasan Ekonomi MADANI

Walaupun kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka telah mendedahkan negara ini kepada tantangan-tantangan geopolitik serta ekonomi dunia yang penuh pergolakan, YAB Dato’ Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI kekal optimistik akan unjuran ekonomi negara. Beliau menekankan kerangka Ekonomi MADANI telah membina landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.

“Kerajaan yakin bahawasanya terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh keberantakan ini. Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara-negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat. Ikhtiar Kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharui kerjasama-kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport,” tambah beliau.

Tambahan pula, Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM421 bilion ini adalah bertujuan memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan darjat hidup rakyat. Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM86 bilion juga ditambah dengan projek-projek inisiatif pembiayaan swasta (private finance initiative; PFI) bernilai RM9 bilion serta pelaburan langsung domestik oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-linked Investment Company; GLIC) berjumlah RM25 bilion. Secara keseluruhan, pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 adalah berjumlah RM120 bilion.

Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) pada September 2024 dijangka menjana pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dan mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Selebihnya, Kerajaan telah mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5% pada tahun 2023 kepada 4.3% tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8% pada tahun 2025. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk menjayakan kemampanan kewangan pada jangka masa panjang. Kerajaan kekal berikhtiar untuk memastikan pelaksanaan langkah-langkah serta inisiatif-inisiatif pragmatik bagi mengukuhkan asas ekonomi negara, agar Malaysia berpijak pada landasan kukuh untuk bertahan daripada tantangan-tantangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi dalam negeri.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
15 November 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility