Susulan pengumuman rangka tindakan digital Malaysia, MyDigital, oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Februari 2021, dan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenai pelancaran 5G di Malaysia, Kementerian Kewangan ingin mengumumkan lantikan berikut bagi Digital Nasional Berhad (DNB), iaitu sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan untuk tujuan ini:
| Pengerusi | – | Dato’ Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan |
|
Ahli Lembaga Pengarah |
– | Datuk Seri Dr. Yusof bin Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri. |
| – | Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi | |
| – | Dato’ Muthanna Abdullah | |
|
Ketua Pegawai Eksekutif |
– | Encik Augustus Ralph Marshall |
Gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan di dalam sektor-sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersil seluruh negara. Ahli pengurusan kanan DNB ini akan diumumkan pada masa yang terdekat.
DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik. Ia akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap. Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini.
Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kewangan berkata, “Adalah sangat penting untuk kita melancarkan pelan rangkaian 5G segera, secara sistematik dan profesional untuk memacu inisiatif pertumbuhan negara melalui MyDigital, yang bertujuan untuk memastikan kemajuan sosio-ekonomi dan keterangkuman bagi semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh ketinggalan di kala seluruh dunia pantas menggunapakai teknologi seperti kecerdasan buatan, kenderaan pandu sendiri, robotik, Internet of Things (IOT), pengkomputeran awan dan digital twin untuk terus mencipta peluang baru bagi pertumbuhan masa hadapan. Tahniah kepada mereka yang telah dilantik, yang secara keseluruhannya merupakan gabungan bakat dan pengalaman yang amat sesuai bagi memastikan akses saksama kepada keupayaan 5G untuk rakyat dan perniagaan.”
"Bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi 5G negara, Kerajaan berharap dapat bekerjasama dengan sektor swasta di dalam industri telekomunikasi domestik. Dengan fokus DNB kepada pelaburan infrastruktur 5G, pemain sektor swasta dapat menumpukan usaha mereka kepada penyampaian produk dan perkhidmatan yang lebih baik, tanpa dibebani oleh pelaburan yang besar, atau perbelanjaan modal yang bertindih dengan Kerajaan. Ini adalah satu situasi yang memanfaatkan semua pihak, termasuk pengusaha telekomunikasi, perniagaan dan pengguna, demi penumpuan usaha ke arah penyediaan 5G menjelang akhir 2021,” tambah Tengku Zafrul.
Teknologi 5G adalah aset digital strategik yang memerlukan sumber daya yang mencukupi untuk membangunkan infrastruktur dan kerangka pengedaran yang sesuai. Pelaburan di dalam pembangunan teknologi 5G ini adalah satu strategi dan infrastuktur penting bagi mempercepatkan inovasi dan membina sebuah ekosistem digital yang mantap. Sehubungan itu, pemilikan awam yang digandingkan dengan pasukan pengurusan profesional adalah formula yang tepat untuk memastikan perbelanjaan pembangunan yang mencukupi, dan mengurangkan jurang digital semasa, demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kementerian Kewangan, Malaysia
Putrajaya
1 Mac 2021