Pertumbuhan menggalakkan dalam sektor ekonomi utama negara telah memangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.4% pada suku pertama (S1 2025). Kadar ini adalah selari dengan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.2% pada suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya (S1 2024).
KDNK S1 2025 dipacu oleh sektor Perkhidmatan (5%), Pembuatan (4.1%) dan Pembinaan (14.2%). Pertumbuhan ekonomi ini turut disokong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan pra-Hari Raya Aidilfitri, pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa pada Februari 2025 serta kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini.
“Penggunaan swasta, yang telah menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% pada S1 2025. Ini didorong oleh prestasi pasaran buruh yang menggalakkan dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.1% dan kestabilan kadar inflasi pada 1.5% — kedua-duanya terendah dalam sejarah Kerajaan MADANI,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Ini berbanding dengan prestasi pada S1 2024 di mana penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7% dengan kadar pengangguran berada pada paras 3.3% dan kadar inflasi pada 1.7%.
“Pelaburan telah mengekalkan momentum pertumbuhannya pada S1 2025, dengan kenaikan sebanyak 9.7% — mencerminkan sambutan baik pelabur dunia terhadap dasar propembangunan Kerajaan MADANI serta penekanan aspek kelestarian seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan lain-lain kerangka dasar utama negara,” tambah beliau.
Usaha turut giat dilaksanakan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping mengekalkan ekosistem pelaburan yang dinamik selepas mencatatkan pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad pada tahun 2024.
Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI akur terdapat risiko penurunan kepada unjuran rasmi pertumbuhan pada tahun 2025 iaitu 4.5% hingga 5.5%. Ini disebabkan oleh permintaan luaran yang kian menguncup, ketegangan geopolitik yang meningkat dan amalan perlindungan perdagangan yang kian meluas — khususnya pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Kerajaan MADANI akan membuat semakan kepada unjuran KDNK 2025 apabila situasi tarif timbal balik ini menjadi lebih stabil dan terdapat lebih kejelasan. Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi untuk mengukuhkan asas dalaman negara — dengan salah satunya mempertingkatkan pelaburan langsung domestik (DDI). Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen untuk bersama-sama melabur sebanyak RM25 bilion untuk DDI pada tahun ini, melalui program GEAR-uP.
Kerajaan juga akan meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan AS serta memanfaatkan saluran pelbagai hala seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan kondusif untuk semua pihak.
Kerajaan MADANI akan terus memperhebatkan usaha mempelbagaikan pasaran eksport dan memeterai perjanjian perdagangan baharu untuk meredakan impak daripada ketidaktentuan ekonomi global. Usaha ini telah membuahkan hasil awal pada 2024 dengan peningkatan pelaburan dan nilai eksport ke pasaran bukan tradisional — seperti Mesir, Pakistan, dan Cambodia, selain daripada pasaran ASEAN yang lain.
Kerajaan MADANI juga akan giat mempercepatkan pelaksanaan agenda reformasi Ekonomi MADANI dengan tumpuan kepada kelestarian fiskal negara, memperkukuh nilai rantaian ekonomi negara dan membela kelangsungan rakyat terbanyak melalui jaringan keselamatan sosial serta mencungkil modal insan tempatan.
Di samping itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan ekonomi dalam dan luar negara serta bersedia melaksanakan dasar yang bersesuaian bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang konsisten, mampan dan inklusif demi kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat. Kerajaan juga komited untuk terus memelihara keyakinan pelabur serta melindungi industri domestik dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
16 Mei 2025