Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Peningkatan Prestasi Malaysia Dalam Petunjuk Bank Dunia

Peningkatan Prestasi Malaysia Dalam Petunjuk Bank Dunia

PENINGKATAN KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM INDEKS MENJALANKAN PERNIAGAAN TERBITAN BANK DUNIA KEPADA TEMPAT KE-12 UNTUK TAHUN 2020 DARIPADA TEMPAT KE-15 UNTUK TAHUN 2019, SERTA KEJAYAAN MALAYSIA MENJADI ANTARA NEGARA YANG MENGALAMI KENAIKAN TERBESAR DALAM PENUNJUK TADBIR URUS SEDUNIA YANG TERBAHARU ADALAH PERKEMBANGAN POSITIF BAGI PENARAFAN KREDIT BERDAULAT MALAYSIA

Pembaharuan institusi telah membantu Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Menjalankan Perniagaan (Ease of Doing Business) terbitan Bank Dunia kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019. Malaysia juga adalah antara negara yang mengalami kenaikan terbesar dalam Indeks Tadbir Urus Sedunia yang terbaharu. Kedua-dua ini adalah perkembangan positif bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Indeks Menjalankan Perniagaan 2020

Indeks Menjalankan Perniagaan terbitan Bank Dunia mengukur keberkesanan peraturan perniagaan serta pelaksanaannya di 190 negara. Markah dan kedudukan sesebuah negara akan bertambah baik jika peraturan tersebut memudahkan perniagaan dijalankan.

Markah Malaysia untuk tahun 2020 telah meningkat 0.2 mata dan membolehkan negara menaiki 3 anak tangga kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019 (Jadual 1). Ini adalah kedudukan Malaysia yang terbaik sejak 2015 dan ia disumbangkan oleh penambahbaikan yang dibuat dari sudut memulakan perniagaan dan mendapatkan permit pembinaan.

 

Jadual 1: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Menjalankan Perniagaan untuk 2016-2020

Tahun Kedudukan
2016 18
2017 23
2018 24
2019 15
2020 12

Malaysia juga menduduki tempat ke-4 di Asia selepas Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai negara yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan. Ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya di mana Malaysia menduduki tempat ke-5.

Penunjuk Tadbir Urus Terbaharu

Malaysia juga adalah antara negara yang mengalami kenaikan terbesar dalam Penunjuk Tadbir Urus 2018 (Worldwide Governance Indicators) atau WGI terbaharu yang diterbitkan Bank Dunia awal bulan ini. Ini adalah hasil daripada pembaharuan institusi yang meluas yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

WGI mengukur kualiti institusi di 214 negara dengan mengambil kira 6 dimensi iaitu akauntabiliti, kestabilan politik, keberkesanan kerajaan, kualiti peraturan, kedaulatan undang-undang dan korupsi. Markah Malaysia dalam 5 daripada 6 dimensi tersebut telah menunjukkan peningkatan (Jadual 2).

Perkembangan positif bagi penarafan kredit Kerajaan

Dalam menentukan taraf kredit berdaulat, agensi penarafan kredit antarabangsa mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan fiskal, keadaan ekonomi dan kualiti institusi sesebuah negara. Agensi penarafan kredit antarabangsa menggunakan kedua-dua Indeks Menjalankan Perniagaan dan WGI terbitan Bank Dunia untuk menentukan kualiti institusi, dan oleh itu taraf kredit berdaulat. Prestasi positif Malaysia dalam kedua-dua laporan tersebut akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada paras A3 atau A-.


Jadual 2: Penilaian untuk Malaysia dalam semua dimensi WGI bagi tahun 2017 dan 2018

Dimensi Nilai 2017  Nilai 2018 Perubahan
Suara dan akauntabiliti -0.40 -0.08 +0.32
Kestabilan politik dan ketiadaan keganasan/terorisme 0.12  0.24  +0.12 
Keberkesanan kerajaan 0.83  .08 +0.25 
Kualiti peraturan 0.68  0.68  0.00 
Kedaulatan undang-undang 0.41  0.62  +0.21 
Pengawalan korupsi 0.03 0.31  +0.28 
Nota: Markah berada dalam lingkungan -2.5 mata sehingga 2.5 mata. Markah yang lebih tinggi menggambarkan keadaan yang lebih baik

Pengekalan taraf kredit berdaulat Malaysia adalah jawapan terbaik terhadap dakwaan bahawa Kerajaan tidak mengurus ekonomi negara dengan baik atau telah meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan

Ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan yang tinggi. Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi bulan Ogos 2019 telah meningkat 1.9% tahun-ke-tahun, iaitu lebih tinggi daripada peningkatan 1.2% pada bulan Julai. Ini disumbangkan oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan serta pemulihan output bagi sektor perlombongan.

Kadar inflasi bagi bulan September 2019 pula berada pada paras 1.1%. Inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi pengembangan penggunaan swasta. Nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8% tahun-ke-tahun dalam bulan Ogos 2019, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan 5.7% dalam bulan Julai 2019. Kadar pengangguran untuk bulan Ogos 2019 pula adalah rendah dan stabil pada 3.3%.

Kerajaan komited melaksanakan pembaharuan institusi, sambil membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Hasil pelaksanaan pembaharuan institusi dan pertumbuhan ekonomi mampan akan terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada A3 atau A-. Kejayaan ini secara objektif menjawab dakwaan bahawa Kerajaan semasa tidak menguruskan ekonomi dengan baik, atau telah meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

28 Oktober 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility