1.Terdapat banyak persoalan mengenai hutang negara baru-baru ini, termasuk bagaimana ianya didefinisikan serta bagaimana ia telah bertambah dan sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan had hutang negara memandangkan kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej stimulus tahun lepas.
2. Pertamanya, hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi segala jenis hutang sama ada dalam atau luar negara 1 :
a) Hutang Dalam Negara adalah tertakluk kepada Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946. Akta-akta ini meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) serta Bil-bil Perbendaharaan (MTB)2 . Di luar akta-akta ini, hutang dalam negara turut melibatkan Sukuk Perumahan Kerajaan kerana sebelum 2016, pinjaman perumahan awam masih dianggap sebagai hutang negara, lebih kurang 3% daripada keseluruhan hutang Kerajaan. Sejak 2016, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menguruskan urusan membiayai pinjaman perumahan bagi golongan penjawat awam.
b) Hutang Luar Negara atau pinjaman pesisir luar adalah untuk projek-projek (seperti pinjaman dari JICA atau IDB) dan pinjaman pasaran (seperti sukuk global atau Bon Samurai). Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 turut menetapkan had sebanyak RM35 bilion sahaja dan had ini sentiasa dipatuhi.
3. Sebelum COVID-19, Had hutang kendiri sebanyak 55% telah digunapakai bagi hutang domestik dan luar negara. Tetapi, apabila negara dilanda COVID-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup. Oleh yang demikian, had bagi MGS, MGII dan MITB telah diubah kepada 60% dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan [Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)] 2020. Akta diluluskan dengan sokongan hampir semua Ahli Parlimen pada masa itu. Ini telah membolehkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan B40 dan PKS Mikro, menyelamatkan pekerjaan melalui subsidi upah dan menyokong perniagaan-perniagaan untuk terus beroperasi. Pada masa yang sama, siling hutang yang lebih tinggi turut membenarkan kerajaan untuk sentiasa bersedia terutama sekali di dalam memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang masih terkesan.
4. Maka, apabila Kementerian Kewangan (MOF) melaporkan hutang negara adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0% daripada KDNK setakat hujung tahun 2020, dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.5% daripada KDNK pada 2021— ia adalah merujuk kepada MGS, MGII dan MITB (seperti yang ditakrif dan diperuntukkan di bawah Akta Covid-19). Apabila mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman-pinjaman lain, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2% daripada KDNK.
5. Walau bagaimanapun, had setiap jenis hutang di bawah lunas undangundang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin di dalam pengurusan fiskal. Langkah-langkah ini telah dijelaskan dan diterima oleh agensi-agensi penilaian antarabangsa dan para penganalisa.
6. Dalam erti kata lain, kedua-dua definisi adalah tepat tetapi merujuk kepada komponen-komponen hutang yang berbeza. Dan Kerajaan sentiasa konsisten, di Parlimen atau kepada pihak media semasa menerangkan hutang negara bahawa ianya merangkumi MGS, MGII dan MITB. Tambahan pula, Kerajaan sentiasa telus mengenai hal ini di dalam Laporan Fiscal Outlook
Hutang adalah satu Keperluan untuk Menyelamatkan Pekerjaan dan Menyokong Perniagaan:
7. Krisis COVID-19 telah menyaksikan tindakan-tindakan luar jangka oleh pihak kerajaan serata dunia yang telah menyumbang kepada kenaikan ketara ke atas defisit fiskal dan hutang kerajaan. Menurut IMF3 , sebanyak USD14.0 trilion telah dibelanjakan oleh kerajaan-kerajaan serata dunia untuk melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup dan telah menyebabkan jumlah stok hutang kerajaan melonjak naik kepada sekitar 100% dari KDNK global berbanding unjuran sebelum COVID-19 sebanyak 84% sahaja pada Oktober 2019. Lebih 1,600 program-program sosial dilancarkan oleh kerajaan-kerajaan serata dunia pada tahun lepas dan IMF turut membuat unjuran bahawa purata defisit keseluruhan dari KDNK pada 2020 adalah -13.3 peratus untuk ekonomi maju, -10.3 peratus untuk pasaran baru dan ekonomi kelas pertengahan, dan -5.7 peratus untuk negara berpendapatan rendah.
8. Tindakan pantas dan proaktif Kerajaan di dalam memberi respon dasar melalui empat pakej stimulus ekonomi berjumlah RM305 bilion - membantu mengurangkan kadar pengangguran dari 5.3% pada Mei 2020 kepada 4.9% pada Januari 2021, di mana lebih kurang 200,000 pekerjaan dari sektor formal telah diwujudkan melalui inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO. Kerajaan juga telah menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dengan menyalurkan lebih dari RM14.4 bilion subsidi upah kepada lebih daripada 330,000 pekerja. Geran Khas Prihatin memberi talian hayat kepada sekurang-kurangnya 900,000 peniaga PKS Mikro. Tindakan ini telah menaikkan defisit fiskal kepada 6.2% daripada KDNK pada tahun 2020, tetapi ia lebih rendah dari purata defisit bagi ekonomi baru muncul dan ekonomi kelas pertengahan sebanyak 10.3% dan lebih rendah dari defisit 6.7% yang direkodkan semasa kemuncak Krisis Kewangan Global pada tahun 2009.
9. Tahun ini, selain dari Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, Kerajaan turut melancarkan Pakej Bantuan Permai bernilai RM15 bilion dan program PEMERKASA bernilai RM20 bilion. Secara keseluruhan, pakej-pakej ini telah membantu menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup; memastikan kesinambungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi. Lebih penting lagi, RM5.0 bilion telah diperuntukkan ke arah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok kepada Disember 2021, tiga bulan lebih awal dari sasaran asal.
10. Segala usaha-usaha ini memerlukan penambahan hutang yang telah membantu mengekalkan pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan serta mengurangkan kesan Covid-19 kepada ekonomi negara dengan menghadkan penguncupannya kepada 5.6% pada 2020. Sebagai perbandingan, penguncupan ekonomi Malaysia adalah lebih rendah berbanding UK pada -9.9%, Filipina pada -9.5%, EU pada -6.2% dan Thailand pada -6.1%.
Apa yang Penting . Kebolehan untuk menunaikan Kewajiban Membayar Hutang
11. Secara dasarnya, faktor paling utama adalah bagaimana pihak kerajaan hendak menjelaskan hutang. Kunci utama adalah pertumbuhan ekonomi negara kita. Kita telah mula melihat pemulihan ekonomi negara hasil daripada langkahlangkah dasar yang efektif. Sektor eksport negara kekal berdaya maju, berkembang selari dengan pemulihan perdagangan global. Kenaikan semula ekonomi dunia bermaksud nilai komoditi lebih tinggi di mana ia merupakan komponen utama perdagangan negara. Dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur, penggunaan domestik akan meningkat semula. Organisasi seperti Bank Dunia dan IMF meramalkan ekonomi Malaysia akan bangkit semula pada 2021,dengan kadar 5.6% - 6.7% dan 6.5% . Ditambah pula dengan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang tersusun, langkah hadapan secara bersasar dan pematuhan SOP yang ketat, ekonomi Malaysia kini teguh bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi pada tahun ini.
12. Dalam jangka masa sederhana dan panjang, Kerajaan komited terhadap konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana. Akta Tanggungjawab Fiskal4 yang dicadangkan akan mengkaji secara komprehensif dan memperkuat rangka kerja fiskal jangka sederhana, antara lain dengan mengutamakan perbelanjaan, menambahbaik kerangka cukai, mengetatkan penguatkuasaan dan meminimumkan ketirisan.
13. Kerajaan pada masa ini fokus untuk melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio-ekonomi. Sekiranya kita perlu menanggung lebih banyak hutang untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan, Putrajaya
22 Mac 2021