Pilih bahasa anda
Merujuk kenyataan YAB Menteri Besar Kedah berkaitan isu lesen judi di Kedah yang dilaporkan media baru-baru ini, kenyataan tersebut jelas mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut.
Sebaliknya, kenyataan sebenar adalah seperti berikut:
| Pertama: | Sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada. |
| Kedua: | Berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 telah memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan sahaja setahun. Kemudian, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun. Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023. |
| Ketiga: | Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu. Jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an. Sebagai langkah kawalan, Kementerian Kewangan juga sememangnya telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen. |
| Keempat: | Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian. |
Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 Ogos 2026
↓ Muat turun: Kenyataan-Media-Penjelasan-Aktiviti-Perjudian-27082026