Penjelasan Mengenai Kesan Cukai Jualan Ke Atas Gula Mentah
Kementerian Kewangan (MOF) ingin menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh MSM Malaysia Holdings Berhad berkaitan kesan semakan semula Cukai Jualan ke atas gula mentah.
- MOF ingin menegaskan bahawa gula bertapis (atau lazimnya dikenali sebagai gula putih) kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
- Kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras. Ini bertujuan untuk memastikan rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan semakan semula SST.
- Gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak 5%. Namun begitu, seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan input mereka.
- Oleh itu, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis — lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada Kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga.
- Penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Pengecualian ini diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).
Kementerian Kewangan
Putrajaya
20 Jun 2025