Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Penubuhan Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Bagi Memantau Pelaksanaan Inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

Penubuhan Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Bagi Memantau Pelaksanaan Inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bernilai RM20 bilion yang telah diumum pada 27 Februari 2020 (Khamis) telah dirangka bagi memastikan risiko ekonomi berikutan penularan wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) dapat ditangani. Pada masa yang sama, inisiatif yang dirangka juga adalah bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat terjamin. PRE 2020 ini telah dirangka berasaskan tiga strategi iaitu:

Strategi Pertama: Menangani impak COVID-19

Strategi Kedua: Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan

Strategi Ketiga: Menggalakkan pelaburan berkualiti.

Kerajaan komited bagi memastikan kesemua inisiatif yang telah diumumkan dalam PRE 2020 dapat dilaksanakan dengan segera dan efektif. Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan penubuhan sebuah Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan bagi memantau pelaksanaan PRE 2020.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi mingguan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri akan memantau perkembangan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah tambahan serta penambahbaikan ke atas PRE 2020. Dengan itu, LAKSANA akan juga berperanan bagi memastikan pelaksanaan langkah baharu dan penambahbaikan PRE 2020. LAKSANA akan membuat laporan secara berkala kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan rangsangan ekonomi.

Saya percaya penubuhan unit ini akan memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PRE 2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan sempurna bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara.


YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL AZIZ
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
16 Mac 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility