Bank Negara Malaysia menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee - MPC) telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (Overnight Policy Rate - OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 1.75 peratus pada 7 Julai 2020. Keputusan ini didorong oleh keadaan ekonomi global yang masih di awal tahap pemulihan. Berdasarkan jangkaan pelbagai agensi, seperti World Bank dan International Monetary Fund, lebih 150 dari 195 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada tahun 2020.
Keputusan MPC untuk menurunkan kadar OPR ternyata bertujuan untuk mempercepatkan kadar pemulihan dan seterusnya merangsang ekonomi negara. Kerajaan percaya bahawa keputusan ini, digabung dengan langkah-langkah proaktif yang diperkenalkan sejak bulan Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS+, dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), akan mampu merangsang ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan, mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur, serta membendung kemungkinan penguncupan ekonomi yang mendadak.
Sehingga 7 Julai, pakej-pakej rangsangan yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion tersebut telah berjaya memanfaatkan sekitar 800,000 perniagaan dan menyelamatkan lebih kurang 2.6 juta pekerjaan. Tiga hingga enam bulan yang akan datang merupakan tempoh yang penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA yang dijangka akan membuahkan hasil menjelang Suku Ketiga atau Suku Keempat 2020.
Pemulihan ekonomi Malaysia juga tertakluk kepada usahasama semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat, PKS, peniaga dan pengguna terutamanya bagi memastikan bahawa nyawa dan kehidupan Rakyat dilindungi, serta ekonomi diperkukuh. Di samping itu, ekonomi Malaysia juga dijangka bertambah baik selari dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia yang dijangka pada tahun 2021.
Selain itu, Malaysia telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran, termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, berteraskan asas ekonomi yang kukuh dan kerangka institusi yang baik serta pasaran modal dan kewangan yang mantap, berdaya saing dan dikawalselia dengan baik.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan agar ekosistem kewangan dan pelaburan Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di jangka masa pendek dan sederhana bagi terus menjamin kemampanan and ketahanan ekonomi Malaysia di masa akan datang.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Putrajaya
7 Julai 2020