Kementerian Kewangan Malaysia ingin mengumumkan bahawa Goldman Sachs telah bersetuju untuk membayar USD3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk 1MDB. Dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US Department of Justice), lebih dari USD4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia. Sehubungan itu, Kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula asetaset lain yang masih belum dikembalikan.
Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai USD2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya USD1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut. Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu Kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset-aset lain yang kini berada di luar Malaysia. Jumlah penyelesaian ini merupakan satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak USD1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran Kerajaan pada tahun 2019.
Tengku Dato ’Sri Zafrul Aziz, Menteri Kewangan, berkata: “Penyelesaian ini mewakili aset yang merupakan hak rakyat Malaysia. Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan."
"Kami juga bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan. Dengan penyelesaian ini, kita dapat mempercepatkan pengembalian aset, tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit,” tambah Tengku Zafrul.
Penyelesaian oleh Goldman Sachs ini juga merupakan satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya di dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB. Penyelesaian ini juga tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB.
Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan anggota pasukan perundingan atas usaha mereka selama seminggu dalam menyelesaikan penyelesaian ini.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
24 Julai 2020