Seperti diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018, sebanyak RM20 Juta diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi pelaksanaan kempen “Beli Barangan Malaysia” bagi menyokong produk dan perkhidmatan tempatan. Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan sangat prihatin akan beban kos sara hidup yang dialami rakyat, dan komited dalam mengambil langkah-langkah bagi menangani perkara ini.
Langkah-langkah yang diperkenalkan Kerajaan bertujuan memastikan kos sara hidup berada dalam keadaan terkawal, selain memperkenalkan inisiatif yang dapat memperkasakan kuasa membeli rakyat dan menyemarakkan aktiviti niaga tempatan. Berdasarkan CPI (Indeks Harga Pengguna) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, kadar inflasi untuk tahun 2018 adalah 1% berbanding 3.7% untuk tahun 2017, dan memberikan indikasi langkah-langkah tersebut ada memberikan kesan. Kadar tahunan 1% tersebut merupakan paras terendah dalam tempoh 9 tahun dan membuktikan peningkatan harga setelah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula lebih kecil berbanding kadar pada tahun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mula dikenakan, iaitu 2.7%.
Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan kadar CPI yang rendah dapat dinikmati rakyat dan peningkatan harga terkawal, khususnya untuk barangan keperluan yang harganya naik lebih tinggi dari kadar CPI. Usaha-usaha ini juga bertujuan untuk mengurangkan harga barangan keperluan untuk meringankan beban rakyat. Peningkatan dalam kutipan cukai langsung sebanyak 11.13 peratus berbanding 2017, walaupun berlatarkan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, tentu akan memberikan keyakinan bahawa pertumbuhan ekonomi adalah menggalakkan dan juga mengurangkan kekurangan hasil Kerajaan apabila SST menggantikan GST.
Kempen “Beli Barangan Malaysia” ini akan menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk mendapatkan akses ke hypermarket, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan supaya produk dan perkhidmatan syarikat tempatan dapat dipasarkan kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.
Diharapkan agar peruntukan ini akan dapat digunakan untuk membantu pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan mengembangkan dan merancakkan industri barangan tempatan serta menggalakkan semua rakyat Malaysia membeli barangan buatan tempatan.
Apabila rakyat beli barangan Malaysia, ia bukan sahaja akan membantu syarikat tempatan tingkatkan jualan, tetapi ia juga memberi impak yang positif kepada ekonomi negara. Pelaksanaan kempen ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran semua pihak untuk menggunakan barangan tempatan bagi mengurangkan import dan aliran keluar tukaran asing serta membantu menjadikan Negara lebih makmur dalam ekonomi.
Saya yakin bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan anak watan boleh dibanggakan dan setanding dengan apa yang ditawarkan syarikat luar negara. Saya percaya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, KPDNHEP akan menjayakan kempen “Beli Barangan Malaysia” untuk menjadikan barangan buatan Malaysia pilihan semua rakyat Malaysia dan kebanggaan kita bersama.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 Januari 2019