Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempunyai tanggungjawab yang amat penting sebagai barisan pertahanan pertama dan benteng negara dalam memerangi aktiviti penyeludupan barang-barang haram di Malaysia.
Semasa lawatan saya ke JKDM Negeri Johor pada 19 Jun 2023, saya telah mendapati bahawa sungguhpun Pegawai Penguatkuasa JKDM faham kepentingan tugas, mereka seringkali berhadapan dengan cabaran seperti kerosakan kapal dan kemudahan serta kekurangan peralatan, dan ini menghalang mereka daripada menjalankan tugas secara pragmatik.
Sekiranya terdapat kes penyeludupan barang larangan seperti rokok, alkohol, ubat-ubatan, dan dadah, ia akan memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek masyarakat. Kesannya boleh menyebabkan negara mengalami penurunan pendapatan cukai dan tidak dapat memperuntukkan lebih banyak kebajikan kepada rakyat. Kesannya juga boleh memberi impak kepada keselamatan sosial dan meningkatkan kos dan beban bagi agensi kerajaan yang berkaitan untuk memperketatkan penguatkuasaan. Ini adalah sebab utama mengapa kerajaan tidak akan berlaku lemah dalam memerangi aktiviti penyeludupan barang haram.
Bagi menyelesaikan masalah peruntukan penyelenggaraan dengan lebih berkesan, Kementerian Kewangan telah memutuskan untuk mempermudah proses permohonan mulai tahun ini. Ketika ini, Jabatan Kastam Sungai Pulai dibenarkan memohon peruntukan perbaikan sebanyak RM100,000 atau kurang secara langsung kepada Jabatan Kastam peringkat negeri, tanpa perlu memohon kepada pihak pusat.
Dengan ini, pegawai tempatan mempunyai kuasa persetujuan peruntukan yang membolehkan mereka mengambil langkah yang tepat dan menggunakan dana dengan berkesan. Akhirnya, hanya pegawai tempatan yang benar-benar memahami kecemasan pelbagai masalah dan boleh bertindak dengan cepat, memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat. Selain itu, saya juga telah meminta pegawai yang berkaitan untuk mengkaji dan membincangkan rayuan yang diajukan oleh Jabatan Kastam dengan harapan dapat menyelesaikan masalah mereka secara muktamad.
Saya mendapati bahawa unit penguatkuasaan kita memang hendak berkhidmat untuk negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Namun, usaha mereka selalu dicabar oleh faktor-faktor dalaman atau luaran yang tidak dapat dikawal. Situasi ini memang merugikan pembangunan negara dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, saya cuba meluangkan masa untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jabatan dan membuat tinjauan dari semasa ke semasa, lebih baik daripada duduk di pejabat Timbalan Menteri, membaca laporan dan menikmati hawa sejuk, di mana akhirnya saya terputus daripada realiti sosial yang sebenar.
Saya juga akan terus libatkan pemimpin rakyat yang lain dalam hal ini supaya mereka juga dapat melihat sendiri perkara yang dihadapi oleh jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan tugas mereka. Sebagai contoh, lawatan saya kali ini turut dihadiri Ahli DUN Stulang YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli DUN Skudai YB Marina Ibrahim dan Ahli DUN Johor Jaya YB Liew Cai Tung.
Saya percaya dengan kunjungan dan perbincangan seperti ini bukan sahaja dapat membina jambatan komunikasi yang baik, tetapi juga kita dapat memastikan dasar-dasar dan keputusan pentadbiran kerajaan dapat disampaikan secara lebih telus kepada semua jabatan yang berkaitan.
YB Steven Sim Chee Keong
Putrajaya
22 Jun 2023