Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Perjanjian Akses Oleh Lima (5) Pengendali Rangkaian Mudah Alih Bakal Mempercepat Pelaksanaan 5G Malaysia

Perjanjian Akses Oleh Lima (5) Pengendali Rangkaian Mudah Alih  Bakal Mempercepat Pelaksanaan 5G Malaysia

Perjanjian Akses 5G yang telah dimeterai oleh lima Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operator atau “MNO”) Malaysia dan Digital Nasional Berhad (DNB) pada 31 Oktober 2022 merupakan suatu pencapaian penting dalam melaksanakan visi 5G negara bagi memacu pembangunan ekonomi digital jangka panjang.

Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing bersama DNB. Dengan penyertaan lima MNO ini dalam penyediaan akses borong oleh DNB, pelanggan- pelanggan mereka dijangka akan dapat menerima manfaat kelajuan pantas dan ketersambungan 5G dengan lebih inklusif pada harga mampu milik.

DNB komited untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian dan infrastruktur 5G. Rangkaian 5G kini meliputi hampir 11 juta penduduk di seluruh Malaysia, bersamaan dengan lebih daripada 33% liputan di kawasan berpenduduk. Setakat akhir Ogos 2022, DNB kekal berada di landasan untuk mencapai kira- kira 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024. Kos pembangunan rangkaian 5G adalah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, tanpa sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan selain suntikan ekuiti bernilai RM500 juta untuk memulakan operasi syarikat DNB.

Dengan pelaksanaan rangkaian borong tunggal 5G yang pertama di dunia oleh DNB, MNO di dalam industri telekomukasi Malaysia berpotensi untuk menjimatkan kira-kira RM30 bilion dari segi kos pembinaan infrastruktur dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Ini akan membolehkan MNO untuk memfokus kepada penambahbaikan perkhidmatan 4G dan penyediaan perkhidmatan 5G yang inovatif dan bernilai tinggi bagi manfaat rakyat dan perniagaan.

Pewujudan khidmat 5G juga akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi yang dijangka akan mewujudkan 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana RM650 bilion bagi KDNK secara kumulatif sehingga 2030.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
2 November 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility