Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Perkhidmatan Perubatan Tradisional Dan Komplementari (Traditional And Complementary Medicine) Tidak Tertakluk Kepada Kenaan Cukai Perkhidmatan

Perkhidmatan Perubatan Tradisional Dan Komplementari (Traditional And Complementary Medicine) Tidak Tertakluk Kepada Kenaan Cukai Perkhidmatan

Setelah mengambil kira maklum balas holistik daripada pelbagai pihak, perkhidmatan pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) yang juga dikenali sebagai Traditional and Complementary Medicine (T&CM) tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini.

Ini adalah susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuatkuasa mulai 1 Mac 2024. Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berkata pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia MADANI dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

“Keputusan yang dipersetujui oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ini adalah langkah untuk meningkatkan kesihatan diri keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi MADANI juga akan giat memperkasakan sektor PMKS yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia. Kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa. Maka pengusaha-pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih
lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.

Sehubungan dengan keputusan tersebut, pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan berikut:

  1. Perubatan Tradisional Melayu;
  2. Perubatan Tradisional Cina;
  3. Perubatan Tradisional India;
  4. Homeopati;
  5. Kiropraktik;
  6. Osteopati; dan
  7. Amalan Pengubatan Islam.

Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Mac 2024.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
19 Februari 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility