Kementerian Kewangan mengambil maklum penularan di media sosial yang kononnya mendakwa bahawa terdapat warganegara asing yang menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BPN telah disediakan oleh Kerajaan hanya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang layak. Kementerian Kewangan memandang berat permohonan BPN yang dibuat menggunakan dokumen palsu.
Untuk makluman, permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka dari 1 hingga 30 April 2020. Setakat ini, lebih 3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diterima. Buat masa ini, permohonan BPN tersebut belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya. Keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada bulan Mei 2020.
Permohonan baharu dan rayuan yang telah diterima adalah tertakluk kepada proses verifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak. Permohonan tersebut akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data Agensi Kerajaan yang lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warganegara Malaysia di samping semakan pendapatan dengan agensi pendapatan. Dengan itu, permohonan yang menggunakan dokumen palsu atau yang disenaraihitam akan ditolak dan tidak akan menerima BPN. Kementerian Kewangan juga mengingatkan bahawa sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga (3) tahun serta Kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan.
Kementerian Kewangan kekal komited dalam memastikan semua bantuan Kerajaan adalah berkesan dan membantu kumpulan sasar yang ditetapkan.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 April 2020