Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Permohonan Pembayaran Tunai Dibuka Pada 1 Julai 2024 Bagi Pemilik Kenderaan Di Bawah SKDS 2.0 Yang Belum Mendapat Fleet Card

Permohonan Pembayaran Tunai Dibuka Pada 1 Julai 2024 Bagi Pemilik Kenderaan Di Bawah SKDS 2.0 Yang Belum Mendapat Fleet Card

Pada 1 Julai 2024, Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran tunai daripada pemanfaat Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0. Kemudahan ini terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0 tetapi masih belum mendapat fleet card.

Pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my. Penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, dengan had liter bulanan seperti tertera di Lampiran1.

Terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini adalah seperti berikut:

  1. Pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024, tetapi masih belum menerima fleet card.
  2. Permohonan fleet card perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai 2024.
  3. Tuntutan akan diterima bermula 1 Julai 2024.
  4. Tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan, dengan setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan sebagaimana dinyatakan di Lampiran.
  5. Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.
  6. Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan.
  7. Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun 2024 sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, berkata mekanisme pembayaran semula ini bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel, dan sekaligus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan.

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan. Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI. Saya ingin mengulangi bahawa Kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan,” kata beliau.

“Kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya,” tambah YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.

Kerajaan menggesa pemilik-pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak untuk memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan. Pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
28 Jun 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility