PERTUMBUHAN EKONOMI 2023 KEMBALI NORMAL, DISOKONG OLEH PEMULIHAN DALAM AKTIVITI EKONOMI DAN KEADAAN PASARAN BURUH
Meskipun persekitaran luaran yang mencabar, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3% pada suku keempat 2023 (S4 2023) disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan yang meningkat sebanyak 5.2% pada S4 2023 (S3 2023: 4.8%). Peningkatan ini membantu mengimbangi penurunan perdagangan luar sebanyak 3.2% berikutan kejatuhan eksport susulan permintaan global yang melemah.
Secara keseluruhan, ekonomi negara kembali normal dengan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada tahun 2023 berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%). Pertumbuhan keseluruhan tahun 2023 adalah sedikit rendah berbanding unjuran Belanjawan 2024 iaitu sekitar 4%.
Pertumbuhan pada S4 2023 disokong oleh peningkatan asas ekonomi iaitu antara lain:
"Pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menggambarkan bahawa agenda pembaharuan oleh Kerajaan MADANI mula membuahkan hasil yang positif. Selain daripada penstrukturan semula fiskal secara berterusan yang memanfaatkan Kerajaan dan rakyat, usaha meningkatkan tadbir urus dan mempermudah urusan perniagaan telah merangsang aktiviti ekonomi, seterusnya memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia," kata YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Kerajaan MADANI memacu pelaksanaan pembaharuan ekonomi pada 2024
Susulan pemetaan strategi pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia melalui kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan akan mempercepat pelaksanaannya pada tahun ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi baharu dan merealisasi pembaharuan dan keadilan sosial.
"Kerajaan MADANI yakin mampu mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh antara 4% hingga 5% pada 2024 disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan MADANI Kedua," kata YAB Dato' Seri Anwar.
"Kerajaan bertekad untuk terus mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini, sejajar dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5% pada 2023 daripada 5.6% pada 2022."
Ekonomi MADANI menekankan kepentingan mengislahkan ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk menangani cabaran sistemik yang sejak sekian lama berakar tetapi juga memberikan tumpuan kepada bidang pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.
Belanjawan 2024 menekankan komitmen Kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi. Penjimatan daripada langkah tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan rentan dan memerlukan serta meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
Sementara itu, strategi dan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas akan memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi terutamanya dalam industri berteknologi tinggi, peralihan tenaga dan digital serta seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
16 Februari 2024