Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 (S1 2024) berkembang sebanyak 4.2% (S4 2023: 2.9%) didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak. Kadar pertumbuhan pada S1 2024 mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9% dan Kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4% hingga
5% bagi tahun 2024.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada S1 2024 membuktikan bahawa dasar Kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.
“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh. Dalam tahun pertama pentadbiran, Kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” kata beliau.
“Kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI. Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur-pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.
Dari sudut penawaran, semua sektor melonjak dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada S1 2024. Ini boleh dilihat melalui prestasi asas ekonomi yang menggalakkan, antaranya:
Lonjakan momentum transformasi ekonomi pada tahun 2024
Peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar-dasar jitu Kerajaan MADANI. Kerangka Ekonomi MADANI, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara. Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah-langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua (2024) serta tekad Kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara.
Sebagai tambahan, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta inisiatif-inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar propembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Mei 2024