Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Pertumbuhan KDNK Malaysia Pada 2026 Di Landasan Untuk Melepasi 5% Bagi Tahun Ketiga Berturut-Turut

Pertumbuhan KDNK Malaysia Pada 2026 Di Landasan Untuk Melepasi 5% Bagi Tahun Ketiga Berturut-Turut

Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.5% pada Suku Ketiga 2026 (S3 2026) membawa pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.6%, berbanding 4.8% bagi tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi ini meletakkan Malaysia di landasan untuk mencatat pertumbuhan melebihi 5% bagi tahun ketiga berturut-turut.

Pertumbuhan menyeluruh ini disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan, dengan peningkatan 4.8%. Eksport melonjak 46% pada suku ketiga tahun ini, dipacu oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) (62.1%) seiring dengan kitaran pertumbuhan industri teknologi global. Pada September 2026, Malaysia mencatat nilai eksport bulanan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM215.1 bilion, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali.

Prestasi ekonomi yang kukuh ini turut diiringi perkembangan positif dalam pasaran buruh, dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9% pada September 2026, berbanding 3.0% pada bulan yang sama tahun lalu. Inflasi pada September 2026 pula kekal terkawal pada 1.8%.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata bahawa langkah proaktif Kerajaan MADANI untuk memelihara kestabilan ekonomi dan menjamin bekalan bahan api susulan krisis Asia Barat telah membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luar.

“Tindakan berani Kerajaan dalam menghadapi krisis Asia Barat, didukung oleh reformasi yang dilaksanakan di bawah Ekonomi MADANI, telah memperkukuh daya tahan ekonomi negara. Walhasil, Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

Melangkah ke 2027, Kerajaan MADANI kekal optimis terhadap prospek ekonomi negara, namun terus berwaspada terhadap ketegangan geopolitik dan risiko berkaitan iklim yang membayangi ekonomi global.

Belanjawan 2027 meneruskan usaha Belanjawan MADANI terdahulu untuk menaikkan siling melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan dan pembangunan prasarana, di samping mengekalkan disiplin fiskal.

“Namun, segala pencapaian ini tidak membawa erti sekiranya kita alpa akan usaha menaikkan lantai demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Melalui Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI memperkukuh bantuan, mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi golongan yang layak serta menambah baik perkhidmatan awam. Kita tidak akan lelah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih luas untuk rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.


KEMENTERIAN KEWANGAN
Putrajaya
18 November 2026

↓ Muat turun: Pertumbuhan KDNK Malaysia Pada 2026 Di Landasan Untuk Melepasi 5% Bagi Tahun Ketiga Berturut-Turut

Arkib Siaran Media