PERUNTUKAN BELANJAWAN 2020 UNTUK PERBELANJAAN PEMBANGUNAN BAGI PULAU PINANG IALAH RM979.5 JUTA BUKANNYA RM10,000 JUTA MANAKALA PROGRAM/INISIATIF BERKAITAN INDUSTRI HALAL BERJUMLAH RM125.2 JUTA BUKANNYA RM10 JUTA
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memainkan sentimen apabila beliau mencadangkan hanya saya sahaja disingkirkan sebagai Menteri Kabinet. Permainan sentimen oleh PAS ini selaras dengan pendirian dasar PAS bahawa warganegara bukan Islam tidak layak jadi Menteri Kabinet yang menentukan dasar kerajaan, khususnya bagi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Ketua Menteri.
PAS kini rasa berani melaksanakan dasar dan sentimen sempit ini, selepas PAS dan BN meraih sokongan kuat daripada pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Tanjung Piai. Saya hendak menjawab fitnah jahat Tuan Ibrahim Man bahawa saya gagal sebagai Menteri Kewangan kerana, menurut beliau, daripada corak belanjawan negara, Pulau Pinang diperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan tetapi hab halal hanya diperuntukkan RM10 juta.
Dakwaan ini sungguh tidak bertanggungjawab kerana tidak berasas dan tidak benar. Sekiranya disemak isi kandungan Belanjawan 2020 dengan betul, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang ialah RM979.5 juta, bukannya RM10,000 juta, manakala program/inisiatif berkaitan industri halal berjumlah RM125.2 juta, bukannya RM10 juta.
Tuan Ibrahim Man turut mendakwa peruntukan yang diagihkan oleh Kementerian Kewangan tidak menunjukkan keseimbangan, terutamanya bagi peruntukan yang melibatkan negeri-negeri Pantai Timur. Dakwaan ini adalah fitnah jahat yang membelakangkan fakta kerana negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan Terengganu sebanyak RM1.2 bilion, yang merupakan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang lebih besar daripada Pulau Pinang.
Sekiranya Tuan Ibrahim Man seorang yang beretika dan bermoral, beliau harus meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat sedemikian. Atau adakah pemimipin PAS berhak membuat fitnah jahat dan dakwaan palsu ke atas saya semata-mata kerana saya seorang bukan Islam yang tidak layak memegang jawatan Menteri Kewangan?
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
22 November 2019