Ringkasan
Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim tatkala bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), pendaftaran Program eMADANI akan dibuka mulai Isnin, 4 Disember 2023. Seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40, bakal menerima kredit e-tunai sebanyak RM100 sekali sahaja (one-off) melalui program ini.
Kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion untuk program ini yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar semasa majlis peluncuran kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai 2023.
Program eMADANI ialah kesinambungan kepada kejayaan program eBeliaRahmah dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.
“Menjelang hujung tahun dan musim cuti persekolahan, Kerajaan harap sumbangan eMADANI dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan rakyat di samping memupuk budaya pembayaran tanpa tunai,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.
“Pelaksanaan program eMADANI yang bermula Isnin depan adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan terutamanya langkah yang menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara serta membantu rakyat secara langsung,” ujar beliau.
Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet mengambil bahagian dalam program ini. Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada Kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun atau mata ganjaran (reward points) sepanjang tempoh program ini.
Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI bermula dari 8.00 pagi, 4 Disember 2023 sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna. Manakala pengunaan kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Februari 2024.
Kredit eMADANI juga boleh dimanfaatkan menerusi peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.
Pemohon program eMADANI boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) melalui pautan https://manfaat.mof.gov.my/eMADANI atau https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
29 November 2023